top of page

#SejarahPBS 3

 

USAHA PENUBUHAN PARTI

Usaha

untuk mendaftarkan PBS diteruskan dengan gigih. Menempuh beberapa rintangan dan cabaran sehingga sembilan bulan lamanya pun belum ada jawapan. 

Namun kegigihan Datuk Pairin tidak mudah pudar. Antara lain beliau, sehingga terbang ke New York untuk berjumpa dengan Dato Musa Hitam (sekarang Tun) yang pada ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri & Menteri Dalam Negeri. Beliau mengekori Datu Musa Hitam sehingga ke Boston, Amerika Syarikat semata-mata untuk membuat susulan terhadap pendaftaran Parti Bersatu Sabah, ia itu sebuah parti yang berbilang kaum dan agama. Maka pada akhirnya, seorang peguam bernama Datuk Dominic Puthucheary telah sampai di Kota Kinabalu pada 6 Mac 1985, dia telah membawa Sijil Pendaftaran rasmi PBS yang didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Kuala Lumpur pada 5 Mac 1985. Dalam suatu majlis di peringkat awal sesudah PBS didaftarkan, maka pada pertama kalinya Datuk Pairin telah mengumumkan tentang pendaftaran berkenaan di dalam satu majlis sederhana dan menunjukkan bendera dan logo PBS,  di sebuah rumah kediaman mendiang Datuk William Lim di Tg. Aru, Kota Kinabalu. Pada ketika itu, Dewan Undangan Negeri Sabah pun sudah di ambang pembubaran.

Pada 15 Mac 1985, Jemaah Kabinet Kerajaan Berjaya telah meletakkan jawatan dan justeru membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Itu adalah strategi mereka kerana menjangkakan agar PBS tidak akan dapat mengurus dan membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya. Mereka juga menjangkakan agar PBS tidak akan ada kesempatan untuk menyebarkan dan memperkembangkan pengaruhnya dengan pesat ke seluruh negeri. Apatah lagi dengan hanya 10 hari sahaja PBS didaftarkan, DUN telah pun dibubar. Namun walaupun dengan kesuntukan masa, PBS telah dapat menawan hati rakyat jelata Sabah kerana rakyat sudah memang tertunggu-tunggu kedatangan PBS. PBS dapat membuat persediaan untuk menghadapi dan bertanding di kesemua 48 kawasan pilihan raya umum negeri. Penamaan calon pada ketika itu adalah pada 2 April 1985 dan pembuangan undi ditetapkan pada 20 dan 21 April 1985.

Di dalam pilihanraya itu, PBS telah meletakkan calon di kesemua 48 kawasan pilihanraya negeri. PBS telah terlebih awal sudah bersedia dengan senarai calon-calonnya. Pada ketika itu, semangat juang ahli-ahli PBS amat tinggi sekali. Tiada pernah terlintas di hati mereka soalan seperti, Apa akan terjadi sekiranya parti akan menghadapi kekalahan?” Malah yang ada hanyalah semangat juang yang membara untuk terus berjuang demi memperjuangkan hak-hak rakyat mengikut lunas-lunas prinsip demokrasi. Walaupun seumur jagung iaitu 47 hari sahaja, rakyat jelata Sabah telah memberi sokongan yang padu kepada PBS.  Maka keputusan pilihanraya telah memihak kepada kemenangan PBS dengan memenangi majoriti mudah iaitu 25 kerusi daripada 48 kerusi yang ditandingi. Satu kerusi dari Moyog telah ditambahkan, menjadikan 26 kerusi.  Ini kerana calon PASOK yang bertanding di DUN Moyog dan memenanginya, kerana ia telah disokong oleh PBS setelah calon PBS di DUN Moyog telah ditolak atas sebab teknikal. USNO telah mendapat 16 kerusi, dan BERJAYA hanya 6 kerusi.

 

Dengan adanya enam (6) kerusi ADUN yang dilantik oleh parti yang menang, maka PBS telah dapat membentuk Kerajaan Negeri. Datuk Pairin telah menyandang jawatan sebagai  Ketua Menteri Sabah. Saat gembira dan rasa syukur nyata sekali terukir dan dihayati oleh seluruh ahli PBS dan majoriti rakyat negeri Sabah. Di dalam pilihanraya itu, Datuk Pairin telah menang di kawasan DUN Tambunan dengan undi sebanyak 4,101 undi, jauh meninggalkan pencabarnya yang hanya mendapat 617 undi sahaja. Walaupun, dengan kemenangan itu, satu percubaan untuk merebut kuasa telah dilakukan oleh pihak yang kalah, yang kini menjadi pembangkang. Mereka telah cuba memaksa TYT supaya membenarkan Tun Mustapha untuk  mengangkat sumpah sebagai ketua menteri. Dalam pergolakan pada waktu subuh itu, akhirnya Datuk Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, telah campur tangan dan menegaskan bahawa Ketua Menteri yang sah adalah Datuk Joseph Pairin Kitingan. Maka di hari ke-48 dari penubuhan PBS, Datuk Pairin, akhirnya dapat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah sah yang baru. Ketika itu Datuk Pairin berumur 45 tahun.

bottom of page