Search
  • Admin

'SEDIA perlu tingkatkan pembangunan di Sabah'

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) perlu melakukan perubahan besar dalam pelaksanaan dan perancangan projek untuk memastikan peningkatan pembangunan serta kemakmuran di Sabah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata SEDIA perlu mengutamakan semula tumpuannya kepada dua isu iaitu pembangunan urbanisasi, terutamanya promosi pelaburan di sektor bandar dan keduanya adalah pembasmian kemiskinan di sektor luar bandar.


"SEDIA adalah agensi penting yang bertanggungjawab untuk merancang dan membangunkan koridor Sabah.


"Namun, walaupun SEDIA meraih banyak pencapaian dari segi matlamat dan Indeks Prestasi Utama (KPI) sejak ditubuhkan 11 tahun yang lalu, masih ada ruang untuk peningkatan.


"Kelajuan pencapaian umumnya adalah perlahan berbanding koridor nasional yang lain," katanya.



Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat dilakukan bersama Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Hashim Paijan bertempat di pejabat SEDIA, semalam.


Dalam kenyataan itu, Maximus turut berkata koridor Sabah mempunyai peluang untuk menyemak, menyusun semula tujuan dan sasaran pembangunan di bawah pemerintahan Sabah yang baharu.


Beliau turut menasihatkan pengurusan SEDIA di bawah kepemimpinan Hashim, untuk menekankan fokus dan visi kesejahteraan bersama bagi memastikan Sabah benar-benar mendapat manfaat dari peningkatan kemakmuran dan pembangunan luar bandar.


"Sabah menjadi rujukan sebagai antara negeri paling miskin dan ini menjadi sesuatu yang memalukan untuk perancang projek, pelaksana dan pengurus pembangunan.


"Negeri ini mempunyai inventori dan sumber aset yang baik namun pendapatan luar bandar sangat sedikit.


"Oleh itu, perlunya sebuah perubahan besar terhadap perancangan dan juga pelaksanaan projek," katanya.


Beliau turut menambah SEDIA juga harus merancang dan melaksanakan projek yang berkaitan dengan penempatan semula penduduk setinggan di kawasan maju.


Menurutnya, ini bagi memastikan penduduk dan peneroka dipindahkan dari jajahan haram ke kawasan penempatan yang dirancang dengan betul untuk golongan warganegara yang sah.


Maximus berkata SEDIA dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan di samping akan memantau fungsi dan operasi SEDIA bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Sumber: BH Online

0 views