Admin
Pejabat Daerah boleh serah hak milik tanah

KOTA KINABALU, 13 Ogos 2020:
Jika benar majlis penyerahan geran tanah kepada penerima yang layak tidak bermotivasikan politik, maka sepatutnya kerajaan negeri pimpinan Parti membenarkan Pejabat Daerah melakukan kerja-kerja penyerahan tersebut.
Malah keikhlasan Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal akan lebih terbukti sekiranya beliau tidak mengharapkan penghargaan daripada para penerima hak milik tanah kerana beliau tidak layak untuk menerima ya memandangkan inisiatif tersebut telah dimulakan oleh kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional.
"Turut dipersoalkan mengapa program tersebut dibenarkan disaat negeri ini masih berhadapan dengan wabak COVID-19," kata Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah Datuk Jahid Jahim dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambahkan bahawa sementara pemerintah Negeri yang dipimpin Warisan berkeras mereka tidak melanggar undang-undang untuk mengeluarkan geran tanah sebelum pilihan raya, namun motif program tersebut tetap menjadi persoalan.
"Program tersebut merupakan sebuah tindakan melulu yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri kerana mengizinkan majlis seperti itu diadakan memandangkan pandemik COVID-19 masih menjadi ancaman kesihatan awam.
"Oleh itu, Suruhanjaya Pilihan Raya harus meneliti sekiranya lawatan kerja Shafie ke seluruh Sabah untuk menyerahkan geran tanah adalah bertujuan untuk berkempen dan memancing undi," katanya.
Rakyat juga harus ingat bahawa pemilikkan geran tanah tercapai berkat usaha kerajaan terdahulu di bawah kepimpinan mantan ketua menteri Tan Sri Musa Aman, iaitu proses pengukuran dan pemberian geran tanah melalui program PANTAS.
Kerajaan persekutuan BN sebelum ini juga telah meluluskan peruntukan sejumlah RM20 juta untuk tujuan tersebut, berkat usaha pemimpin Sabah dalam kabinet persekutuan pada ketika itu, termasuklah Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk mendapatkan peruntukan tersebut.
"Nampaknya Shafie dan pemerintahnya tidak mempunyai arah tuju dan agenda pembangunan sosioekonomi yang komprehensif untuk rakyat Sabah khususnya.
"Sebaliknya mereka hanya bergantung pada propaganda untuk mengumpulkan sokongan, menjanjikan pelbagai perkara dan tidak ada satu pun dapat ditunjukkan setelah 26 bulan berkuasa," katanya.
Tidak hairanlah bahawa beliau (Shafie) mengharapkan pencapaian BN dan mengatakan semua ini adalah hasil usahanya.
"Di manakah suara aktivis Warisan yang kononnya adil dan bersih yang mengutuk pemerintah BN sebelumnya ketika peristiwa serupa dianjurkan pada masa lalu?
"Adakah perkara ini dapat diterima jika Warisan melakukan ini sementara yang lain dikecam dan dikutuk?" soal Jahid.
Jahid turut menggesa agar SPR menyiasat perkara itu dan menentukan sama ada pemberian geran tanah sesuai sebelum pilihan raya diadakan.