Admin
PBS ucap tahniah kepada Muhyiddin, berpendirian mesra Kerajaan Persekutuan

KOTA KINABALU, 1 Mac, 2020:
Dalam tempoh sebulan ini, rakyat Malaysia menyaksikan pergolakan sengit yang berlaku dalam parti Pakatan Harapan (PH) berkaitan pemilihan calon bagi jawatan Perdana Menteri.
Sepanjang tempoh pergolakan itu, Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memilih untuk kekal neutral, bebas daripada menjadi sebahagian gabungan politik, apatah lagi masuk campur dalam urusan dan kekacauan pada masa itu.
"Kami, di PBS, memilih untuk menyokong penyelesaian muktamad kepada pelantikan Perdana Menteri (PM) yang baharu bagi mengelakkan ketidakstabilan politik dan ekonomi.
"Dalam keadaan kucar-kacir berkaitan pemilihan PM ke-lapan, sebagai Ahli Parlimen (MP) dan Presiden PBS, saya memutuskan untuk bersama-sama dengan Ahli Parlimen yang bersependapat dengan kami (dalam PBS), terutamanya MP dari Sabah dan Sarawak, untuk menyokong (bekas Perdana Menteri) Tun Mahathir Mohamad bagi jawatan itu atas sebab-sebab kestabilan politik dan penyelesaian yang kompromi untuk perpaduan," tambah beliau.
Berikutan situasi tersebut, satu Akuan Bersumpah (SD) telah dibuat memihak kepada Mahathir sebagai pemimpin utama negara, tetapi disebabkan perpecahan dikalangan MP, akhirnya tidak ada pilihan jelas untuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan calon untuk jawatan tersebut.
"Pergelutan kuasa bermula tapi akhirnya, gabungan Barisan Nasional, PAS dan beberapa MP Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Malaysia yang ke-lapan.
"PBS memutuskan untuk BERKECUALI dari pengundian, dan tidak menandatangani SD baharu, maka deklarasi terdahulu yang berpihak kepada (Tun) Mahathir diambilkira sebagai sah," jelasnya.
Ongkili menambah bahawa beliau percaya konsistensi, prinsip dan integriti tidak ternilai sebagai maksim bagi perkhidmatan politik.
"Kami yakin bahawa PBS harus mendahulukan kepentingan negara dan Sabah, terutama sekali dalam perjuangan politik berbilang kaum, daripada masuk campur kekalutan dan perebutan kuasa politik yang sebenar.
"Kami percaya bahawa kuasa sebenar adalah dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat," tegasnya.
Beliau berkata pada masa ini, PBS memilih untuk bebas daripada segi minda dan gabungan yang boleh mengganggu gugat keadan politik semasa.
"Kami akan berusaha untuk menjadi suara lantang dan konsisten demi kepentingan rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
"PBS bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa, akhirnya kekacauan politik bakal berakhir tidak lama lagi. Mengambil kira segala tuntutan perundangan dan prosedur adalah sah, kami ingin mengucapkan tahniah kepada PM Kelapan negara, (Tan Sri) Muhyiddin.
"Kami berharap agar beliau akan dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah yang melanda negeri Sabah, terutamanya berkenaan kebanjiran pendatang tanpa izin dan pemulihan hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63). Untuk semua ini, PBS akan memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada kepimpinan beliau (Muhyiddin).
"PBS akan mesra kepada Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Perdana Menteri baharu, dan menyokong semua inisiatif positif yang akan memberi manfaat kepada Malaysia, terutama rakyat Sabah, serta dasar dan program yang akan memastikan kemakmuran dan perpaduan negara kita yang berbilang kaum ini.
"Kami juga akan menumpukan perhatian untuk memperjuangkan perkara-perkara terutama yang melibatkan Sabah dan rakyat Sabah, dari segi keselamatan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pendatang tanpa izin dan pembangunan ekonomi yang adil," ujar beliau.