Search
  • Admin

PBS ucap 'Selamat Maju Jaya' kepada Jamilah 


KOTA KINABALU, 3 Feb, 2020: 


Selepas membuat perbincangan bersama Biro Politik, Parti Bersatu Sabah hari ini memutuskan untuk menerima keputusan pemimpin kanan Parti Datuk Jamilah Sulaiman untuk meninggalkan Parti itu.


Mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatannya dari semua jawatan dan keahlian dalam parti itu, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengharapkan yang terbaik untuk Jamilah dalam perjuangan politiknya di masa hadapan. 


"Kepimpinan Parti menyedari bahawa beliau mempunyai masalah hubungan antara manusia yang berterusan, terutama sekali dengan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS. 


"Jamilah seringkali dilihat masuk campur dalam perihal yang berada di luar spesifikasi dan bidang tugasnya. Beliau juga beberapa kali telah mengugut untuk meletakkan jawatan apabila kedua-dua pergerakan tidak menyatakan sokongan kepada beliau," kata Ongkili menjawab pengumuman Jamilah untuk meninggalkan PBS. 


Ongkili menambah sepanjang penglibatan Jamilah di dalam parti, PBS sering memberi peluang kepada beliau untuk  berkhidmat kepada ahli dan rakyat Sabah, terutama sekali apabila parti itu berada dalam kerajaan Barisan Nasional.


"PBS juga menamakannya untuk berkhidmat dua penggal sebagai Senator di bawah kuota parti," katanya.


Sementara itu, Ongkili berkata PBS mempunyai barisan pemimpin yang berpengalaman dan mampu untuk membantu memimpin parti.


"Kami mempunyai beberapa pemimpin parti kuota Muslim untuk mengisi kekosongan jawatannya.


"Bagi PBS, kami akan terus bergerak tanpa halangan. Rekod masa lalu menunjukkan bahawa kami semakin kuat dan kukuh walaupun menghadapi masalah atau ancaman luaran dan dari pihak  musuh," katanya.