Admin
PBS TERIMA GBS TAPI DENGAN SYARAT …

KOTA MARUDU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bersetuju untuk membentuk Gabungan Bersatu Sabah atau GBS dengan tiga parti politik lain tetapi atas beberapa syarat.
Timbalan Presiden Datuk Dr Maximus Ongkili berkata dalam mesyuarat baru-baru ini telah dipersetujui bahawa Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan menjadi pengerusi sementara GBS manakala presiden dan ketua parti lain adalah timbalan.
Menurut Dr Maximus, PBS akan bertemu dengan presiden dan ketua daripada Umno Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Star Sabah dalam masa berdekatan ini. Dr Maximus berkata semasa menyaksikan majlis angkat sumpah ahli jawatankuasa bahagian Tandek dan Matunggong di sini hari ini bahawa persetujuan PBS terhadap pembentukan gabungan tersebut mempunyai syarat.
“PBS akan menerima GBS sebagai gabungan rasmi tetapi tanpa perlembagaan. Ia hanyalah satu persefahaman antara parti sama seperti Pakatan Harapan atau Gabungan Parti Sarawak,” katanya.
Syarat kedua, katanya adalah ahli GBS mestilah parti yang mempunyai wakil rakyat yang diundi pada pilihanraya umum ke-14 lalu. “Ketiga, Umno Sabah perlu menyelesaikan soal dua peranannya. Pada masa ini, Umno masih lagi bersama Barisan Nasional tetapi pada masa yang sama ingin bekerjasama dengan kita dalam GBS.
“Kita khuatir situasi ini hanya akan membuat orang bingung,” katanya.
Syarat terakhir adalah GBS harus mempunyai undang-undang mengikat kerjasama ini tetapi tanpa terlalu banyak formaliti.
“GBS adalah alternatif kepada Parti Warisan dan komponennya,” katanya lagi.
Dr Maximus berkata perincian lain dan juga langkah seterusnya akan diumumkan secara rasmi dalam minggu ini.-SabahNewsToday