Admin
PBS: Perlantikan Hajiji sebagai KM ke-16 paling tepat
KOTA KINABALU, 28 Sept 2020:
Parti Bersatu Sabah menyifatkan perlantikan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 sebagai pilihan tepat.
Keputusan tersebut selaras dengan cadangan dan pendirian PBS semasa Pilihan Raya Negeri ke-16, manakala parti lain membuat keputusan berdasarkan keputusan pilihan raya yang baru sahaja selesai.
Kami (PBS) yakin, dengan sokongan ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji mampu melaksanakan tugas dengan baik, berdasarkan pengalaman yang luas sebagai menteri kanan di Kabinet Negeri Sabah.
Pengalaman beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama tujuh penggal amat berharga digunakan untuk berkhidmat kepada rakyat.
PBS juga percaya bahawa Hajiji akan dapat menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat, sekaligus memimpin Sabah dan pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri untuk semua rakyat Sabah.
PBS berharap dapat bekerjasama dengan beliau dan menawarkan sokongan dan kerjasama kepada Ketua Menteri dalam pembentukkan Kerajaan Sabah yang baharu.
Kami yakin bahawa melalui pembentukan Kerajaan Sabah yang baharu, di bawah GRS, akan dapat mencipta pencapaian dan rekod yang boleh dibanggakan.
Tamat.
Dikeluarkan oleh,
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili,
Presiden Parti Bersatu Sabah,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Negeri Sabah dan Sarawak),
Ahli Parlimen P168 Kota Marudu