top of page
Search
  • Writer's pictureAdmin

PBS GESA KERAJAAN TERUSKAN USAHA PENJAGAAN RUMAH PANJANG RUNGUS


MATUNGGONG: Kerajaan negeri pimpinan Warisan digesa untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan semula dan pembaikan rumah panjang masyarakat Rungus di negeri ini.

Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata sekurang-kurangnya 24 buah rumah panjang di Tandek dan juga di sini memerlukan pembaikan ataupun pembinaan semula dengan kadar segera.

“Dalam tempoh lapan tahun sebelum ini, kerajaan terdahulu telahpun membina semula dan membaiki 33 rumah panjang iaitu 24 dibina semula dan empat diperbaiki di Matunggong; dan tiga dibina semula, dua diperbaiki di Tandek,” katanya. Peruntukan bagi menampung projek tersebut disediakan oleh unit implementasi dan koordinasi (ICU) dibawah Jabatan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, katanya.

“Kerajaan terdahulu telah meluluskan peruntukan untuk menambahbaik kehidupan masyarakat ini oleh itu kita percaya kerajaan yang ada sekarang haruslah membuktikan bahawa mereka boleh buat lebih baik daripada kerajaan BN,” ujar beliau.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata demikian selepas menziarahi mangsa kebakaran di Rumah Panjang Kampung Tuid di sini hari ini. Lebih kurang sembilan keluarga kehilangan tempat tinggal apabila api memusnahkan rumah panjang tujuh pintu itu kelmarin.

Dr Maximus turut menggesa Kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi membina semula rumah panjang yang terbakar itu dengan segera.

Katanya kerajaan terdahulu hanya memerlukan tujuh hari untuk mendapatkan dana daripada agensi persekutuan berkaitan untuk kes sedemikian.

“Kerajaan sekarang sekurang-kurangnya harus menyamai, kalaupun tidak mengatasi usaha kerajaan lama demi mangsa-mangsa kebakaran ini,” katanya.

MATUNGGONG PERLU STESEN BOMBANYA SENDIRI

Sementara itu, Dr Maximus mengulangi permintaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya satu stesen bomba dan penyelamat didirikan di daerah kecil Matunggong.

“Berkali-kali sudah kita minta dan setiap kali jawapannya ialah stesen bomba Kudat memadai bagi menanggung sebarang kemungkinan di Matunggong,” katanya.

Namun kebakaran di Kampung Tuid kelmarin membuktikan jarak antara Kudat dan Matunggong sebenarnya jauh.

“Rumah panjang sudah habis terbakar baru bomba tiba. Kita tidak mampu membiarkan hal sedemikian berulang. Maka itulah kita benar benar yakin Matunggong amat memerlukan stesen bombanya sendiri,” katanya.

Terdahulu Dr Maximus mengetuai rombongan PBS menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran. Setiap keluarga juga menerima RM500 bantuan kewangan.-SabahNewsToday




3 views0 comments
bottom of page