Admin
PBS akan umum keputusan bertanding dalam PRK Kimanis sebelum 4 Januari

PAPAR, 20 Dis, 2019: Parti Bersatu Sabah dijangka akan membuat pengumuman rasmi mengenai penyertaannya dalam pilihan raya kecil Parlimen (PRK) Kimanis sebelum hari penamaan calon pada 4 Jan, 2020. Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata parti kini masih dalam proses mendapatkan maklum balas dari akar umbi mengenai perkara ini. Walau bagaimanapun, katanya, parti mendapat sokongan besar dari akar umbi di Kimanis setakat ini. "Kami masih mendapat maklum balas dari akar umbi sama ada untuk bertanding atau tidak. Jika kita memutuskan untuk tidak bertanding, PBS akan menyokong mana-mana parti politik yang berjuang untuk melindungi hak-hak negara seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan akan memastikan keselamatan Sabah, serta mempertahankan negeri ini daripada dibanjiri oleh pendatang tanpa izin. "Kami menyeru semua parti pembangkang untuk bersatu, bekerjasama, dan memastikan kemenangan untuk pembangkang," katanya setelah mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PBS di pejabat bahagian PBS N27 Limbahau, di sini. Tambah beliau, berdasarkan maklum balas awal dari akar umbi, ramai yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) tahun hadapan. "Berdasarkan maklum balas daripada wakil kami di sini hari ini, mereka menentang keras perlaksanaan PSS," katanya. Sementara itu, Ongkili yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Marudu berkata semua 60 cawangan PBS di Kimanis, 30 setiap satu di Bongawan dan Membakut, telah bersedia untuk pilihan raya kecil itu. "Saya telah mengarahkan supaya semua 60 cawangan PBS diaktifkan untuk membuat persiapan jentera untuk menghadapi PRK yang akan berlangsung tidak lama lagi. "Semua pemimpin kanan Parti juga akan turun padang untuk melawat cawangan-cawangan ini dan mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing mulai 1 Jan tahun hadapan," katanya. PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Khas pada Ogos tahun lepas yang membatalkan kemenangan Anifah pada Pilihan Raya Umum ke-14. Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 18 Jan 2020 sebagai hari mengundi untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kimanis, dan pengundian awal berlangsung pada 14 Jan.