Admin
Ongkili mahu pelantikan kontraktor SMK Langkon dipercepatkan

KOTA KINABALU, 31 Oct 2019:
Pembinaan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Langkon yang baharu dijangka akan dilaksanakan sebaik sahaja kontrak kontraktor terdahulu ditamatkan.
Dalam menggesa Kementerian Pendidikan agar mempercepatkan pelantikan kontraktor baharu untuk menyiapkan pembinaan bangunan sekolah menengah itu, Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menambah projek tersebut akan memberi manfaat kepada ribuan pelajar di Langkon.
"Kontraktor sebelum ini gagal untuk menyiapkan projek dan menyebabkan pelajar-pelajar menengah SMK Langkon terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan Langkon," kata beliau ketika memberi respon kepada jawapan bertulis dari Kementerian Pendidikan kepada soalannya di Dewan Rakyat mengenai status projek SMK Langkon di Kota Marudu hari ini.
Ongkili berkata projek RM33.9 juta, yang melibatkan pembinaan 24 bilik darjah dan kemudahan lain, telah diluluskan pada tahun 2013 tetapi gagal untuk disiapkan, walaupun tambahan tempoh masa diberikan.
SMK Langkon mula beroperasi pada tahun 2000, tetapi terpaksa menumpang bilik darjah di SK Langkon sementara menanti pembinaan bangunan sekolah menengah siap.
Ongkili berkata SK Langkon, dengan kemudahan sekolah semakin usang, kini menjadi sesak dengan pertambahan pelajar menengah yang terpaksa menumpang di sekolah itu.
"Terdapat banyak kes-kes projek pembinaan sekolah yang gagal kerana pihak kontraktor tidak memenuhi syarat, sehingga menyebabkan penderitaan kepada ribuan pelajar dan menganggu sistem pendidikan kita," katanya.
Beliau menambah bahawa dalam memilih kontraktor untuk projek-projek sekolah, perlu diingatkan hanya mereka yang mempunyai rekod prestasi yang baik dan mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh sahaja layak dipilih.
"Syarikat-syarikat yang mempunyai rekod pencapaian yang kurang memuaskan harus disenarai hitam dan disekat daripada penyertaan tender pada masa depan.
"Bagaimanapun, kami berharap Kerajaan akan mempercepatkan pelantikan kontraktor baharu agar pelajar sekolah menengah di Langkon boleh menikmati pembelajaran dan bilik darjah yang lebih selesa," katanya.