Admin
Ongkili: Kerajaan Baharu perlu bangkit untuk stabilkan keadaan negara

DONGGONGON,16 Ogos, 2019:
Malaysia berada dalam keadaan kucar kacir - itulah yang dilihat oleh pemerhati dan pelabur asing mengenai situasi negara ketika ini.
Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bersetuju dengan pandangan daripada pemerhati luar bahawa ekonomi negara, serta sentimen sosial, tidak berada dalam keadaan yang terbaik.
"Ekonomi sedang merosot. Harga barang dan perkhidmatan semakin meningkat, pelaburan asing dan kehadiran pelancong menurun, keadaan sektor pertanian tidak berkembang, ketegangan kaum semakin teruk, sikap rasis dan tuduhan bersifat perkauman berada dalam tahap membimbangkan yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Malah, semua perbalahan dalam kalangan parti pemerintah sangat parah sehingga mereka lalai dan gagal mentadbir negara ini," kata Ongkili.
Lebih buruk lagi, tambah beliau, seorang pendakwah berkontroversi dari luar negara berani untuk menyuruh rakyat negara ini untuk kembali ke tanah air asal mereka.
"Para penganalisis telah menilai prestasi kerajaan sebagai kurang baik dan biasa-biasa sahaja. Rakyat tengah menderita.
"Kerajaan tidak layak menerima mandat yang diberikan oleh pengundi pada pilihanraya yang lepas. Mereka patut disingkirkan.
"Pendakwah Islam berkontroversi, Zakir Naik perlu dihantar pulang dengan segera seperti yang dituntut oleh pelbagai pihak dan pemimpin," kata Ongkili ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Exco Pemuda PBS Pusat, disini, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata dasar dan program baru yang diperkenalkan adalah kurang wajar dan hanya merosakkan pembangunan negara terutamanya pendidikan khususnya dalam isu berkaitan dengan kaligrafi jawi.
Katanya lagi. Kementerian Pendidikan sepatutnya menumpukan perhatian untuk menyatukan rakyat dan menjadikan sistem pendidikan dan produk di Malaysia bertaraf dunia.
"Bukan (campur tangan) mengenai hal-hal remeh dan kontroversi yang boleh menyebabkan perpecahan dan mewujudkan ketidakpercayaan dalam masyarakat majmuk telah teruji.
"Ini bukan cara Malaysia untuk membina sebuah negara yang unggul. Ini adalah standard yang lemah dan kurang bijak ," kata beliau.
Ongkili menggesa kedua-dua kerajaan pemerintah Pakatan Harapan dan Warisan untuk bangkit demi menyelamatkan Malaysia dan Sabah dari jatuh lebih teruk.
Beliau berkata negara perlu maju ke hadapan, kerana kerajaan sekarang telah berjanji untuk menjadi lebih baik daripada Barisan Nasional.
"Kita sepatutnya menjadi negara maju menjelang tahun hadapan, tetapi dengan situasi negara pada saat ini, adakah ia akan menjadi kenyataan? Semoga Tuhan memberkati Malaysia dan kita semua," katanya.