Search
  • Admin

Mandut: Rahman jangan gigit tangan yang beri makan


KOTA MARUDU, 18 Okt 2019:

Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk Abdul Rahman Kongkawang sepatutnya berterima kasih kepada Parti Bersatu Sabah kerana memperkenalkan beliau ke dunia politik.

Parti yang sama juga telah memberi beliau peluang untuk berkhidmat dengan meletakkan beliau sebagai calon pada pilihan raya umum yang lalu.


"Malangnya, beliau memilih untuk berpaling tadah. Janganlah gigit tangan yang beri makan. Ini satu pengkhianatan," kata Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut.


Beliau berkata kenyataan Abdul Rahman baru-baru ini mendakwa bahawa PBS menyebarkan fitnah bahawa Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Warisan menyebabkan kebakaran baru-baru ini untuk mengeluarkan dokumen kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin, adalah tidak berasas.


Abdul Rahman juga mendakwa bahawa PBS tidak mempunyai bukti bahawa Warisan memberi kewarganegaraan kepada warga asing


"Saya terkejut bagaimana Abdul Rahman dengan mudahnya melupakan perjuangan beliau yang lalu sewaktu bersama PBS, terutama mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pendatang tanpa izin. Beliau mengkhianati kami dengan menyebarkan pembohongan. 


"Jika dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena (dengan PBS), sepatutnya beliau menyertai parti-parti politik yang lain sejak dahulu lagi ... tapi mengapa sekarang? Mengapa beliau sanggup mengkhianat parti seperti ini? Adakah beliau diberikan habuan dengan menabur fitnah mengenai parti PBS? 


"Daripada bercakap buruk tentang PBS yang telah memberi peluang kepada beliau untuk menjadi ADUN, Abdul Rahman harus memberi tumpuan untuk merealisasikan tujuan yang telah menyebabkan beliau melompat parti," kata Mandut.


Abdul Rahman berkata alasannya untuk menyertai Warisan adalah kerana ketidakupayaannya untuk membawa pembangunan ke Labuk apabila berada dalam pembangkang.


Mengulangi kenyataan Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai, Mandut juga menasihatkan Abdul Rahman agar tidak membenarkan diri beliau dipergunakan sebagai boneka oleh pemimpin dalam parti barunya.


"PBS tidak pernah melatih ahlinya menjadi pengkhianat. Kami mengamalkan budaya bekerja sebagai satu pasukan, dan saya sedih mengapa beliau sanggup mengkhianati kami seperti ini.

"Kami menghormati keputusan beliau untuk meninggalkan PBS untuk Warisan. Sekarang, biarkanlah kami yang masih setia dalam PBS meneruskan perjuangan, misi dan visi parti. Abdul Rahman harus menumpukan perhatian dan bekerja lebih keras untuk berkhidmat di rumah politik baru beliau," kata Mandut.