top of page
Search
  • Writer's pictureAdmin

KERAJAAN DIMINTA JANGAN AMBIL JALAN MUDAH TENTANG SILF


KIULU: Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai mempertahankan pendiriannya bahawa kehadiran Rakyat Asing di negeri Sabah atau Sabah Inland Foreigners (SILF) mendatangkan ancaman kepada  negeri itu.

Beliau menegaskan kenyataannya adalah berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara JPN, Sabah, Ismail Ahmad, sebagaimana  dilaporkan oleh media, ketika dialog perundangan yang dihadiri Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu, November tahun lalu.

Mengulas laporan media mengenai perkara itu, Joniston berkata JPN sebenarnya telah menganggarkan bahawa terdapat kira-kira 500,000 orang rakyat asing di Sabah, yang bertentangan dengan penjelasan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, bahawa tidak ada data sedemikian.

Joniston berkata demikian di perasmian mesyuarat bersama cawangan parti Bersatu Sabah (PBS) Kampung Malangang Lama, Ponohuan dan Tompihanaton di sini hujung minggu lalu. Di mesyuarat itu, beberapa belia juga menyerahkan borang permohonan untuk menyertai PBS.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Joniston menggesa kerajaan negeri untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah kementerian baharu yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri berikutan ancaman keselamatan oleh pendatang tanpa izin dan SILF. “Satu-satunya perkara yang saya silap ialah angka yang saya nyatakan iaitu kira-kira 200,000,” katanya.

Pengarah JPN Sabah dilaporkan berkata rakyat asing itu terdiri daripada pemegang IMM13,  penduduk sementara, pemegang sijil Burung-burung JKM, sijil banci, Pala’uh dan kanak kanak tanpa kewarganegaraan.

Ismail juga dipetik sebagai berkata bahawa rakyat asing di negeri Sabah itu mendatangkan masalah yang lebih besar kepada pihak berkuasa jika dibandingkan dengan pendatang tanpa izin.

Menurutnya, apabila rakyat asing berkenaan yang tidak mempunyai kewarganegaraan, ditahan oleh pihak berkuasa, mereka tidak dapat dihantar pulang ke negara asal masing-masing kerana status  kerakyatan mereka tidak diiktiraf dan diterima oleh negara berkenaan.

Ismail juga berkata adalah sukar untuk mengesan dan mengenal pasti dokumen golongan berkenaan kerana mereka tidak berdaftar dengan jabatan itu, malahan kematian mereka juga tidak direkodkan.

Satu lagi isu besar yang diberi penekanan oleh Ismail adalah kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, yang dilahirkan menerusi perkahwinan tidak sah dan perkahwinan yang  melibatkan pasangan yang tidak mempunyai dokumen sah.

Ismail menunjukkan data statistik JPN yang merekodkan bahawa ketika  ini terdapat 2,894,984 penduduk di Sabah, di mana 44,482 daripadanya adalah penduduk tetap manakala  selebihnya, 24,605 ​​adalah penduduk sementara.

Joniston berkata bilangan tinggi mereka yang bukan rakyat Malaysia yang diberikan status penduduk  tetap atau PR, menjadi kebimbangan dan beliau menyeru kerajaan negeri supaya tampil memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut dan mendedahkan siapakah sebenarnya orang-orang itu.

“Sekiranya mereka yang diberikan status PR adalah warga asing, rakyat tempatan Sabah tempatan mempunyai sebab untuk merasa bimbang kerana mereka akhirnya akan memohon kewarganegaraan,” kata Joniston.

Mengambil kira kebimbangan yang disuarakan pengarah JPN Sabah mengenai bilangan SILF yang tinggi, Joniston berharap kerajaan tidak mengambil jalan singkat dan mudah untuk memberikan status penduduk tetap kepada mereka.

Sambil menyeru kerajaan negeri untuk terus memberikan tekanan ke atas negara asal SILF itu untuk menerima semula rakyat mereka, Joniston berharap Kementerian Luar Negeri akan campur tangan untuk mencari penyelesaian kepada masalah itu.-SabahNewsToday

3 views0 comments
bottom of page