Admin
KERAJAAN DIGESA MENERUSKAN USAHA KERAJAAN DULU MENGHIDUPKAN SEMULA PERANAN JAWATANKUASA-JAWATANKUASA
Kenyataan Media

1. Dalam kenyataan media oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri YB Datuk Mohd Azis Jamman yang mengesahkan bahawa penyebaran beberapa gambar di media sosial baru-baru ini berhubung satu gerakan yang dipercayai sindiket mengunakan borang berlogo Parti Warisan dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk melakukan aktiviti mendaftar warga asing bertujuan untuk meyakinkan pemohon untuk membayar sejumlah wang dilihat sebagai testimoni oleh YB Timbalan Menteri KDN sendiri bahawa sindiket penjualan kerakyatan Malaysia masih berlaku di Sabah.
2. Isu mengenai masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) telah lama dibangkitkan di Sabah. Antara inisiatif kerajaan terdahulu ialah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) pada 11 Ogos 2012 dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim dan turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Tan Sri Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk K.Y Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman J Luping.
3. Dalam laporan RCI, banyak testimoni menyusahkan kewujudan "Projek IC" dan sindiket penjualan kad pengenalan kepada PTI. Malahan ada testimoni yang menyatakan terlalu banyak kerakyatan diperolehi oleh warga asing melalui sindiket penjualan kad pengenalan Malaysia tersebut. Justeru itu, penarikan balik semua kad pengenalan yang telah diberikan kepada penduduk Sabah dicadangkan, dan setelah proses 'pembersihan' dilakukan, hanya warganegara Malaysia tulin diberikan kad pengenalan diri. Bagi penduduk Sabah yang benar-benar layak, tidak akan ada masalah untuk memperolehi kad pengenalan Sabah ini. Rekomendasi ini dipercayai hanya satu cara untuk membersihkan kerakyatan yang diperolehi melalui pintu belakang.
4. Dalam laporan RCI juga terdapat rekomendasi penubuhan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Tetap dipengerusi bersama oleh bekas Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Menteri Sabah, YB Tan Sri Musa Aman. Sementara Jawatankuasa Teknikal dipengerusikan oleh Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Fungsi jawatankuasa teknikal itu antara lain akan meneliti isu-isu dibangkitkan oleh laporan RCI serta maklum balas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah untuk diketengahkan kepada Jawatankuasa Tetap. Jawatankuasa Teknikal telah pun menyiapkan dua laporan dan telah pun diserahkan kepada pihak berkuasa sebelumnya. Walaubagaimanapun laporan jawatankuasa ini diklasifikasikan sebagai rahsia menurut peruntukkan Akta Rahsia Rasmi. Terdapat tuduhan fitnah dil aman sosial bahawa Tan Sri Pairin tidak berbuat apa-apa. Kepada mereka ini, mintalah kerajaan semasa mendedahkan laporan tersebut jika mereka mahu bukti.
5. Kini setelah lebih setahun Kerajaan PH+Warisan memerintah, kita tidak lagi mendengar perkembangan susulan daripada jawatankuasa-jawatankuasa tersebut. Adakah kerajaan semasa akan meneruskan jawatankuasa-jawatankuasa tersebut supaya dapat mencapai matlamatnya yakni penyelesaian masalah PTI dan pembersihan kerakyatan penduduk Sabah yang diperolehi melalui pintu belakang?
6. Adanya testimoni-testimoni berhubung dengan projek ic, sindiket penjualan kad pengenalan dan masih terdapat kehadiran PTI di Sabah, seperti dalam laporan RCI, sudah tentulah penduduk Sabah merasa curiga bila ada berita-berita mahupun gambar-gambar berhubung dengan sebarang dakwaan berkaitan dengan kehadiran PTI serta dakwaan-dakwaan pemberian kad pengenalan tular di laman media sosial. Masalah PTI yang melanda Sabah yang berpanjangan ini tanpa tindakan konkrit ditambah pula dengan pengakuan YB Timbalan Menteri Dalam Negeri membuktikan bahawa pemberian kad pengenalan dan kerakyatan melalui pintu belakang masih berleluasa. Justeru, kerajaan sekarang seharusnya meneruskan usaha kerajaan lalu untuk memberhentikan kegiatan haram ini dengan melaksanakan saranan dan cadangan RCI melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah dibentukkan demi masa depan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat tulen di negeri Sabah. Pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada PTI ini sesungguhannya tidak menurut peraturan dan perlembagaan persekutuan yg mana telah melanggar kedaulatan undang-udang (rule of law).
Sekian.
Oleh Arthur Sen
Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS)