top of page
Search
  • Writer's pictureAdmin

Kecewa pilihan calon tidak dipertandingkan punca Dr Othman dan sekutu tinggalkan PBS

RANAU, 14 Sept, 2020:


Tindakan mantan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah N38 Paginatan Datuk Dr Othman Minuddin dan beberapa ahli jawatankuasa menyertai Parti Sabah Solidariti Tanah Airku (Sabah STAR) didakwa disebabkan rasa kecewa calon pilihan mereka tidak dipertandingkan pada pilihanraya negeri kali ini.


Menurut naib ketua bahagiannya, Faustian Thomas, Othman, ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bahagian, Pemuda dan Wanita pada bulan lalu, telah menetapkan bahawa mereka akan menyokong keputusan kepimpinan induk dalam hal pemilihan calon bagi mewakili parti di PRN.


“Malahan kenyataan media mengenai keputusan mesyuarat tersebut telah pun disiarkan pada Ogos 25 yang menyatakan PBS DUN Paginatan mahu bertanding pada PRN kali ini, dan akan menyokong wakil calon yang dipilih oleh kepimpinan. Malahan ini turut diuar-uarkan dalam ucapan sewaktu menghadiri perjumpaan pemimpin bersama rakyat.


“Namun, apabila pucuk kepimpinan induk membenarkan calon PBS dengan meletakkan Ahli Majlis Tertinggi Arthur Sen bertanding di DUN tersebut, beliau (Othman) dan beberapa ahli jawatankuasa induk, wanita dan pemuda bertindak meninggalkan parti dan menyertai Sabah STAR," ujar Thomas, sambil menambah tindakan mereka bertentangan dengan ketetapan mesyuarat yang diadakan pada bulan lalu.


Beliau menambah bahawa Othman dan rakan sekutunya menginginkan Timbalan Ketua Bahagian Juis Konsuling dicalonkan pada PRN kali ini.


“Walau bagaimanapun, kami menghormati keputusan mereka dan mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka.


“Jentera pilihanraya PBS DUN N.31 Paginatan tidak terjejas ekoran tindakan mereka itu, malahan ia berfungsi seperti biasa. Calon kami dipilih berdasarkan kajian yang dilakukan dikalangan akar umbi dan percaya beliau (Sen) adalah pilihan terbaik untuk memenangi kerusi ini untuk PBS.


“Kami akan bertemudengan pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat untuk merujuk tindakan seterusnya,” ujar Thomas.


tamat.

7 views0 comments
bottom of page