Admin
JANGAN JADI ‘BATU API’ – JAHID

KOTA KINABALU: Netizen diseru untuk tidak menjadi ‘batu api’ dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.
“Sikap batu api ini hanya akan memburukkan keadaan. Sebaliknya, kita perlu mengelakkan diri daripada mengeruhkan lagi perselisihan yang berlaku,” nasihat Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah, Datuk Jahid Jahim.
Beliau menambah insiden yang berlaku di kuil di Selangor baru-baru ini amat mengejutkan masyarakat Malaysia dan menjadi topik perbualan hangat dalam media sosial, termasuklah di Sabah.
“Kita sedar dalam zaman IT ini, walau apa pun yang berlaku di pelusuk dunia boleh sampai ke pengetahuan kita dalam sekelip mata menerusi aplikasi media sosial.
“Oleh itu, adalah penting untuk kita berhati-hati dan peka terhadap maksud setiap kata-kata yang kita gunapakai untuk komen dalam Facebook, terutamanya dalam ruangan maklum balas portal berita atas talian,” kata beliau. Jahid juga menyeru agar netizen tidak mengongsikan video daripada mana-mana pihak yang berniat jahat untuk menghasut dan menimbulkan sentimen perkauman.
“Sebaiknya, kita mendoakan dan membantu meleraikan situasi yang tegang ketika ini. Jangan viralkan kandungan media sosial yang boleh menjurus kepada prejudis dan kemarahan dalam kalangan masyarakat kita.
“Berikan kepercayaan kepada pihak agensi keselamatan negara untuk menyiasat dan membawa pesalah ke muka keadilan. Elakkan diri daripada sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan,” tegas Jahid.
Beliau menambah walaupun insiden tersebut berlaku di Semenanjug Malaysia, namun ia memberi kesan kepada masyarakat di sini yang bimbang dengan keselamatan ahli keluarga dan sahabat yang sedang melanjutkan pelajaran atau bekerja di Selangor.
“Kita sedar yang kadangkala emosi kita terganggu apabila mendengar kejadian sedemikian rupa kerana kita mempunyai ramai sahabat-sahabat karib kita daripada pelbagai kaum, namun kita perlu berfikiran positif dan berharap isu berkenaan dapat dileraikan dan diselesaikan secepat mungkin.
“Tidak dinafikan ada sesetengah pihak dilihat cuba menyemarakkan sentimen perkauman dikalangan rakyat Malaysia kebelakangan ini. Baru saja insiden promoter minuman keras di Ampang reda, kini timbul pula isu ini. Tetapi kita harus bersabar,” kata beliau.
Ini bukanlah ‘Malaysia Baharu’ yang diingini, kata beliau, malahan sebaliknya masyarakat Malaysia perlu hidup saling bertoleransi dan harmoni.
“Justeru itu, marilah kita semua mengamalkan sikap toleransi antara kaum, demi memelihara perpaduan negara,” ujar beliau.-SabahNewsToday