top of page
Search
  • Writer's pictureAdmin

ISU LANTIKAN ADUN PAS: PBS main peranan jadi 'check and balance'

KOTA KINABALU, 8 OKTOBER 2020:

Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin kerana telah menyempurnakan proses istiadat pelantikan Kabinet Menteri dan Pembantu Menteri bagi Kerajaan Negeri Sabah yang baru, serta pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik.

Kami juga bersyukur atas kewibawaan, kerjasama serta sokongan yang diberikan oleh TYT dan pihak Istana dalam memastikan upacara perlantikan berjalan dengan lancar.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor kerana telah menyempurnakan tugas beliau melantik Menteri dan Pembantu Menteri bagi semua kementerian Kerajaan Negeri yang baharu. Dengan perlantikan tersebut, kerajaan baharu ini kini dapat berkhidmat kepada rakyat Sabah dengan serta-merta.

Selesai sahaja upacara mengangkat sumpah kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri esok, termasuk Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dewan Undangan Negeri Sabah akan memulakan tugasan dalam mengubal undang-undang bagi negeri ini.

Sama seperti negeri dan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, Kerajaan Negeri dibentuk selepas selesainya pilihanraya oleh parti atau gabungan parti yang menang. Gabungan yang menang, berserta anggota komponennya, akan memainkan peranan masing-masing dalam komposisi kerajaan baharu.

Kami juga berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana memberikan dua (2) jawatan Menteri Kabinet dan tiga (3) jawatan Pembantu Menteri kepada PBS dalam kerajaan yang baru ini. Kesemua ADUN PBS, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, telah siap siaga untuk memainkan peranan mereka, terutama sekali dalam jawatan yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Kesemua ADUN PBS terlatih dan amat berpengalaman, dan mereka telah berjanji untuk berkhidmat untuk rakyat semampu mereka dan menyokong Ketua Menteri agar janji yang telah dibuat kepada rakyat pada pilihanraya lalu ditepati.

Sebagai sebuah parti, bagi pihak PBS, kami berjanji untuk menyokong, bekerjasama dan membantu dengan pelbagai cara untuk memastikan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat menunjukkan prestasi yang baik untuk menunaikan janji-janji pilihan raya, serta membawa pembangunan yang diperlukan kepada akar umbi.

Dalam soal pelantikan ahli PAS sebagai ADUN yang dilantik, PBS turut mendengar dengan jelas akan keluhan rakyat dan ahli politik di Sabah.

Kami memahami dan turut merasakan kebimbangan atas pengenalan preseden (precedent) baru di mana ahli parti Malaya yang mengamalkan ideologi politik berasaskan agama dilantik tanpa mengambil bahagian dalam Pilihanraya Negeri baru-baru ini.

Seperti yang telah saya maklumkan kepada orang ramai dalam kenyataan saya sebelum ini, PBS telah menyuarakan pendapat mengenai perkara ini kepada pemimpin tertinggi Perikatan Nasional. Kami telah mendapat penjelasan mereka.

Walaupun begitu, kami mempertahankan kedudukan asal kami bahawa tidak perlu membuat preseden untuk pelantikan itu diberikan kerana kebimbangan mengenai isu agama.

Memandangkan pelantikan telah dibuat, maka kami akan memikul peranan sebagai pemantau dan menjadi semak dan imbang bagi memastikan kebimbangan rakyat Sabah tidak terabai. Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan wakil PAS yang mempunyai latar belakang akademik yang baik dan berasal dari Tenom.

Saya yakin Dr Aliakbar Gulasan, yang memegang jawatan sebagai ADUN dilantik, akan berusaha untuk menyangkal segala perkara dan persepsi orang ramai yang berbeza mengenai PAS di Sabah.

Saya menyeru agar rakyat Sabah bersatu, bekerjasama dan memberikan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, dan kabinet barunya.

Hasrat kami adalah untuk melihat Sabah berkembang lebih maju dan kukuh, serta bersatu, di bawah kerajaan GRS yang baharu.

Dr Maximus Johnity Ongkili Presiden, Parti Bersatu Sabah

19 views0 comments
bottom of page