Search
  • Admin

‘Dr M tidak pernah baik terhadap Sabah’



KOTA KINABALU, 4 Sept 2020 : Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akhirnya bersuara buat kali pertama berhubung layanan yang diterimanya sebagai Ketua Menteri pada tahun 1985 di bawah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Pairin, yang melepaskan jawatan presiden PBS tetapi kekal menjadi Penasihat Presiden Tetapnya – Parti Bersatu Sabah keluar dari gabungan Barisan Nasional yang memerintah dalam tempoh lima tahun – berkata setelah direnung, Dr Mahathir “tidak melakukan apa-apa yang baik untuk Sabah”.


“Bila saya imbas apa yang berlaku pada 1985, ia membuatkan saya sedih… apabila Perdana Menteri (Mahathir) datang ke sini, dia kata dia tidak tahu siapa Ketua Menteri ketika itu sedangkan saya sudahpun mengangkat sumpah,” katanya, pada Khamis.


“Dia tidak mempunyai pendekatan adil dan demokratik.


“Sebagai contoh, selaku Ketua Menteri, saya sepatutnya mempengerusikan Majlis Keselamatan Negeri.


“Tapi beliau tidak membenarkan saya menjadi pengerusi.”


Pairin, yang merupakan pengasas PBS, mengulas satu video oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin (RPK) di mana dia membuat beberapa dakwaan mengenai PBS dan Mahathir.

Pairin berkata video itu menggamit kenangannya mengenai politik Sabah pada 1980-an dan 1990-an.


“Semua ini membuatkan saya ingat.. kita perlu mengenang kembali apa yang dia (Mahathir) telah lakukan.


“Sebenarnya, dia tidak melakukan apa-apa yang baik untuk Sabah,” katanya.


Memetik sistem penggiliran Ketua Menteri yang diperkenalkan oleh Mahathir pada 1994 yang tidak ada dalam Perlembagaan Sabah, katanya, ia malah tidak dilaksanakan dengan jujur.


“Kita ada sebuah perlembagaan (negeri) di mana sepatutnya hanya ada seorang Ketua Menteri dalam satu penggal, tapi dia (Mahathir) mengubah sistem itu sesuka hati dan memaksa pelaksanaan penggiliran jawatan ketua menteri setiap dua tahun.


“Mereka malah tidak melaksanakannya dengan jujur, lihat sahaja Tan Sri Bernard Dompok. Dia berkhidmat tidak sampai dua tahun (sembilan bulan).


“Apa maknanya ini bagi kamu? Ia adalah ketidakadilan dan ia menunjukkan sikap salah mereka,” kata Pairin yang berkhidmat sebagai Ketua Menteri dari 1985 – 1994.


Susulan tindakan PBS keluar pada malam menjelang pilihan raya umum 1990, Umno yang diterajui Dr Mahathir, masuk ke Sabah dan membentuk Kerajaan Negeri melalui tindakan lompat parti selepas Undang-Undang Anti-Lompat dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.


Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin yang diadakan untuk menentukan bagaimana Sabah dibanjiri oleh orang asing berpendapat bahawa ada kemungkinan adanya “Projek IC” untuk mengesahkan mereka dan menjadi pemilih setelah tahun 1990.


Mengenai video RPK itu, Pairin menafikan dakwaan pembabitan kewangan Vatican dalam pembentukan PBS pada 1985.


Peguam-peguamnya sedang meneliti video itu sebelum mengambil tindakan lanjut.


“Adalah wajar untuk dia memohon maaf kepada kami dan Vatican,” katanya.


“PBS tidak pernah dibiayai oleh Vatican. Saya tahu kerana saya presiden ketika itu.

“PBS disokong oleh mereka yang bersimpati dan percaya kepada perjuangan PBS dan jika saya biarkan RPK terlepas begitu saja dengan dakwaan seperti itu, ia tidak adil untuk semua.


“Saya ingin tahu dari mana dia dapat (idea) ini… mungkin dia mahu mensensasikan ceritanya,” katanya.


PBS, katanya, mendapat inspirasi dan galakan daripada rakyat “untuk menentang sebuah rejim (Berjaya) yang bersifat menindas kesejahteraan dan hak demokrasi rakyat.


“Ini dapat dilihat dalam pilihan raya kecil Tambunan yang diadakan pada 30 Disember, 1984, di mana isu-isu ketika itu adalah ketidakadilan, layanan tidak adil, dasar tidak demokratik terhadap kebebasan beragama dan tiada tindakan ke atas kemasukan pendatang tanpa izin ke Sabah.


“Ini adalah isu-isu umum, bukan secara khusus menumpukan kepada Tambunan dan calon, iaitu saya.


“Itulah sebabnya kenapa rakyat dari seluruh negeri dari pelbagai latar belakang kaum membantu PBS dan menunjukkan sokongan mereka.


“Isu-isu ini sangat besar, yang melibatkan semua orang, membabitkan ekspresi demokratik dan penguatkuasaan undang-undang.”


Beliau menambah bahawa aspirasi rakyat pelbagai kaum di Sabah telah melahirkan PBS yang didaftarkan secara rasmi pada 5 Mac, 1985.


“Ketika pilihan raya mengejut diadakan di Sabah pada 21 April, 1985, PBS menang dan membentuk Kerajaan Negeri.


“Malangnya, Ketua Menteri muda yang dipilih secara demokrasi adalah seorang Kristian, bukan Muslim.


“Jadi mungkin itulah sebabnya RPK mendakwa bahawa Vatican telah membantu perjuangan PBS,” katanya.


Beliau berkata PBS bergantung sepenuhnya dari segi kewangan kepada bantuan daripada “orang biasa dan mereka yang bersimpati, dan pembela demokrasi dan keadilan, dan sudah tentu bukan Vatican.”


Beliau juga berkata parti itu, di bawah presiden baharunya (Datuk Maximus Ongkili) terus mempertahankan hak-hak dan kepentingan Sabah.


“Saya menggesa rakyat, khususnya pengundi, agar terus menyokong PBS, khususnya sekarang di mana pilihan raya akan datang, PBS akan menggunakan simbolnya sendiri yang melambangkan persahabatan, perpaduan dan patriotisme.” -Daily Express

909 views