Search
  • Admin

COVID-19: PBS gesa segerakan pakej rangsangan ekonomi


KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa kerajaan negeri yang dipimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) mempercepatkan pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan kesan penularan coronavirus (COVID-19) di Sabah ketika ini. Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, berkata beberapa negeri lain sudah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi masing-masing. “Negeri seperti Johor, Selangor, Melaka dan Perak sudah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi masing-masing dan Sabah juga memerlukannya. “Minggu lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendedahkan bahawa kerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi untuk memerangi kesan wabak itu pada bulan hadapan. “Tetapi mengapa tunggu sehingga bulan depan sedangkan banyak pengusaha perniagaan terutama pengusaha kecil-kecilan menghadapi situasi yang sangat teruk. “Selain itu, banyak pekerja terutamanya yang terbabit dalam sektor perhotelan dan perkhidmatan juga sudah diberhentikan buat sementara waktu dan amat memerlukan bantuan,” katanya. Beliau turut menambah antara golongan paling terjejas adalah rakyat golongan daripada luar bandar yang mencari nafkah untuk keluarga. “Peniaga kecil-kecilan yang berniaga di pasar tamu juga merasa impaknya kerana pasar terbuka turut diperintahkan untuk ditutup sementara waktu bagi menangani penularan wabak berkenaan. “Bayangkan tekanan dan beban golongan yang merasa kesan implikasi ekonomi berikutan penularan COVID-19 yang perlu ditanggung mereka. Saya juga percaya banyak pemilik perniagaan dan pekerja yang diberhentikan juga mempunyai pinjaman yang perlu dibayar,” katanya. Joniston turut menyatakan harapannya supaya negara bersedia untuk sebarang kemungkinan berkaitan dengan penularan COVID-19. “Sabah mempunyai kes ketiga tertinggi di negara ini dan turut mencatatkan rekod kematian seorang rakyat Sabah yang berusia 58 tahun. “Adalah menjadi harapan kami bahawa kerajaan negeri Sabah, melalui Kementerian Kesihatan akan meningkatkan persiapan bukan sahaja untuk menangani virus itu tetapi juga untuk mengatasi kesan buruknya terhadap ekonomi negara dan kebajikan rakyat,” katanya. Beliau juga tidak ketinggalan menyatakan penghargaannya kepada kerajaan negeri atas tindakan pantas membantu pelajar Sabah di Kuala Lumpur ketika ini.- BH Online

1 view