Admin
Bukan masa untuk bertunding jari: Mandut

KOTA KINABALU, 30 Mac 2020:
Parti Bersatu Sabah turut bimbang akan kesan virus Covid-19 terhadap kehidupan rakyat Malaysia, terutama sekali di Sabah dan Sarawak.
"Kami memahami impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap perniagaan kecil-kecilan dan kehidupan rakyat, khususnya para petani di luar bandar.
"Pakej Ransangan Ekonomi bernilai RM250 billion yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini adalah bukti keseriusan para pemimpin dalam memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terjaga," kata Ketua Pemuda PBS Pusat, Christopher Mandut.
Mandut yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, di bawah pakej Ransangan itu, tiada golongan yang tercicir.
"Kami sedang memantau dan memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang terjejas secepat mungkin.
"Tidak dinafikan Kerajaan Negeri telah melakukan tugasan mereka dengan baik,namun, sebenarnya, lebih banyak lagi yang mereka perlu lakukan, terutama dalam memberi lebih banyak dana untuk bekalan dan pengagihan makanan," kata Mandut.
Menyentuh keadaan di Kota Marudu, beliau berkata mereka sedang memantau sekiranya berlaku ketidakcukupan atau ketidakadilan dalam pengagihan bekalan makanan oleh pemimpin setempat Warisan dan pegawai lantikan politik parti berkenaan.
"Pejabat Parlimen P168 Kota Marudu akan mengedarkan bantuan bekalan makanan kepada mereka yang tersisih dari senarai Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Warisan sebaik sahaja kita mendapat jumlah sebenar dari pemimpin PBS di kampung-kampung yang terjejas.
"Buat masa ini, kami berharap rakyat kekal tenang. Pada masa seperti ini, kita semua perlu membantu antara satu sama lain dan tidak menunding jari dan menyalahkan sesiapa. Kita semua terjejas oleh virus berbahaya ini. Apa yang perlu kita lakukan adalah patuhi peraturan PKP. Duduk dalam rumah masing-masing", katanya.
Katanya, dalam sosial media, ramai golongan wira papan kekunci parti Warisan telah menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap 'ketidakwujudan' pemimpin Sabah dalam memerangi virus Covid-19 dan kesannya terhadap rakyat.
"Sebenarnya, pemimpin kita terlibat secara aktif dalam perancangan dan pemantauan pelaksanaan pakej rangsangan Covid-19 di peringkat Kabinet Persekutuan untuk mencari pendekatan yang paling berkesan bagi membantu rakyat Sabah dan Sarawak, sama ada yang tinggal di Sabah atau di luar negeri.
"Dan saya percaya Presiden PBS (Ongkili), serta rakan sejawatnya telah melakukan yang terbaik untuk memastikan keperluan kita terpelihara," katanya.