top of page
Search
  • Writer's pictureAdmin

Anifah tidak keseorangan perjuangkan hak Sabah, kata Ongkili


BEKAS menteri luar Anifah Aman tidak keseorangan memperjuangkan hak negeri ketika beliau berkuasa, kata seorang bekas menteri persekutuan dari Sabah.


Pemangku Presiden PBS Maximus Ongkili, yang merupakan bekas menteri tenaga, teknologi hijau dan air, berkata semua bekas pemimpin Sabah dan Sarawak berada di pihak yang sama berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Katanya kenyataan Anifah baru-baru ini bahawa tiada menteri persekutuan yang mahu berjuang bersama beliau dalam isu MA63 adalah tidak tepat.


“Semua menteri Kabinet dari timur Malaysia dijadikan ahli Jawatankuasa Teknikal Kabinet berhubung MA63 yang dipengerusikan oleh Anifah dan bekas menteri di jabatan perdana menteri Nancy Shukri.


“Tiada seorang pun menteri yang tidak bersetuju atau gagal memberi sokongan kepada tuntutan dua negeri untuk mendapatkan autonomi selaras dengan perjanjian itu (MA63),” katanya.


Menurut Maximus, semua menteri mempertahankan MA63 dan hampir kesemua parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk PBS, membentangkan dan menghantar memorandum berhubung perkara itu kepada Peguam Negara ketika itu, Mohamed Apandi Ali yang merupakan setiausaha jawatankuasa tersebut.


“PBS akan terus mempertahankan dan memperjuangkan hak Sabah seperti termaktub dalam MA63. Sebelum ini, pendirian kami dianggap sebagai anti persekutuan dan ada yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


“Cabaran ini tidak melemahkan perjuangan kami untuk mendapatkan keadilan dan autonomi buat Sabah dan Malaysia yang lebih baik.


“Kita perlu terus berjuang kerana mahu mengelakkan satu lagi politiking. Tugas yang perlu dilaksanakan segera adalah menuntut tindakan dan merealisasikan autonomi yang sebenar,” kata Ahli Parlimen Kota Marudu itu.


Beliau berkata PBS telah menubuhkan tiga jawatankuasa tertinggi yang melibatkan pemimpin kanan parti, bekas penjawat awam dan golongan profesional yang menumpukan tentang perjuangan MA63.


“Saranan untuk tindakan lanjut dikemukakan kepada perdana menteri ketika itu (Najib Razak), bekas ketua menteri Musa Aman, menteru tugas-tugas khas Teo Chee Kang, Anifah, Nancy dan bekas Peguam Negara. Salinan cadangan itu terdapat pada laman web PSB: https://www.partibersatusabah.org,” katanya.-The Malaysian Insight

1 view0 comments
bottom of page