top of page

#Sejarah PBS 2

Pengasas PARTI 

Datuk

Pairin

pertama kali bertanding di dalam pilihanraya umum tahun 1976 di kawasan Tambunan di atas tiket BERJAYA. Beliau telah mengambil alih yang dahulunya diwakili oleh mendiang Datuk Anthony Gibun yang menjadi ADUN di kawasan berkenaan dari tahun 1967 hingga 1976. Datuk Pairin telah memenangi pilihanraya berkenaan dalam usia yang amat remaja, iaitu berusia 36 tahun.

Datuk Pairin telah dilahirkan di rumah kediaman Polis di Papar, dari keluarga mendiang Datuk Kitingan Sabanou, bekas Sarjan Major Polis Konstubalary Borneo Utara, dan Datin Laimah Imbayan, kedua-duanya masing-masing datang dari Kampung Keranaan dan Kampung Nambayan, Tambunan. Pendidikan awal Datuk Pairin telah diperolehi dari beberapa sekolah dari pelusuk negeri Sabah, iaitu di Holy Trinity School Tawau, di Sekolah Menengah St. Mary Sandakan, dan kemudiannya di Maktab Sabah Jesselton untuk menghabiskan dua tahun Tingkatan 6 (Overseas Senior Cambridge). Beliau merupakan di kalangan Kadazan Dusun pertama yang mendapat Sijil Overseas Senior Cambridge Gred Satu.

Datuk Pairin telah dikurniakan Biasiswa Kolombo (Colombo Plan) untuk melanjutkan pelajarannya di Australia. Sekembalinya beliau dari Australia sesudah dengan jayanya mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Adelaide. (Imbasan sedikit, Datuk Pairin adalah merupakan rakan seuniversiti dengan Tun Taib Mahmud dan juga Datuk Patinggi Adenan Hj Satem). 

Sekembalinya di Sabah, beliau telah bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kerajaan dan kemudian berhijrah ke sebuah Syarikat Guaman Persendirian sebagai Peguam atau Legal Counsel. Datuk Pairin adalah di antara beberapa pemimpin muda ketika penubuhan Parti Berjaya pada tahun 1975 yang telah dikenalpasti dan dijemput oleh Allayarham Tun Fuad Stephens (Donald Stephen), untuk menyertai Parti BERJAYA. Beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agong, dan kemudiannya naik sehingga menjawat Naib Presiden Parti. Di antara lain adalah mendiang Datuk James Ongkili, Datuk Peter Mojuntin, Datuk Salleh Sulung, Datuk Chong Thein Vun, Datuk Darius Binion, Datuk Clarence Mansul, Datuk Fred Sinidol dan ramai lagi yang lain.

Sesudah memenangi pilihanraya umum negeri 1976, Datuk Pairin telah dilantik sebagai Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri pada ketika itu, iaitu Tun Fuad Stephens (Donald Stephen). Sesudah kemalangan nahas kapal terbang Double-Six, beliau dinaikkan pangkat menyandang jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, iaitu mengambil alih jawatan yang disandang oleh mendiang Datuk Peter Mojuntin. Pada tahun 1980 beliau telah ditukar alih ke jawatan Menteri Pembangunan Alam Sekitar dan Tenaga Rakyat. Pada pilihanraya umum negeri tahun 1981, Datuk Pairin sekali lagi memenangi kerusi DUN Tambunan, dan terus memegang jawatan Menteri.

Datuk Pairin, yang sifatnya sentiasa menyebelahi dan prihatin kepada keperluan dan kebajikan rakyat, seringkali mengemukakan rintihan rakyat kepada Kerajaan secara dalaman. Namun usaha-usaha Datuk Pairin itu telah mula tidak disenangi oleh pucuk kepimpinan parti dan Kerajaan BERJAYA. Ketidakserasian di antara Datuk Haris dan Datuk Pairin pada ketika itu semakin dirasai dan mula adanya perbezaan pendapat semakin ketara. 

 

Pada Julai 1982, Datuk Pairin telah diminta untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri. Namun atas perbincangan dan kompromi yang diusahakan oleh beberapa rakan kabinet, pertelingkahan itu telah dapat diatasi dan Datuk Pairin telah dikekalkan dalam jawatan Menterinya.

Semasa pentadbiran Kongres Berjaya pada tahun 1983, pertelingkahan di antara Datuk Haris Salleh (Ketua Menteri Sabah pada waktu itu) dan Datuk Pairin telah tercetus di khayalak ramai dan di kalangan para perwakilan. Datuk Pairin telah meminta kebenaran untuk cuba menyampaikan dan mengemukakan perkara-perkara yang melibatkan keperluan dan kepentingan rakyat, tetapi Datuk Haris menolak. Datuk Pairin telah dinafikan hak untuk bersuara bagi pihak rakyat, menyampaikan rintihan rakyat.

Sekali lagi, Datuk Haris mendesak Datuk Pairin untuk meletakkan jawatan. Maka pada ketika itulah Datuk Pairin mengambil langkah berani untuk keluar dari dewan persidangan Kongres dan diikuti oleh para perwakilan dari kawasan Tambunan. Mereka bersama-sama keluar meninggalkan dewan persidangan, sebagai tanda sokongan kepada Datuk Pairin. Mereka terus pulang ke rumah kediaman Datuk Pairin. Pada hari kejadian itu, beberapa menteri seperti Datuk Mohd Noor Mansur, Datuk Lim Guan Seng, Toh Pun Rahimah telah bergegas menyusul ke rumah Datuk Pairin untuk cuba memujuk agar beliau kembali ke dewan persidangan. Tetapi dengan pendirian dan ketegasan Datuk Pairin, beliau tidak berganjak daripada keputusannya untuk meninggalkan dewan persidangan itu.

Sejak itu, Datuk Pairin tidak lagi menoleh ke belakang malah bertekad untuk meneruskan perjuangannya. Dipendekkan cerita, pada 26 Ogos 1984, Datuk Haris telah menghantar surat perletakan jawatan dari Dewan Undangan Negeri oleh Datuk Pairin. Di dalam pilihanraya kecil yang diadakan pada bulan Disember 1984, kemenangan tetap memihak kepada Datuk Pairin, yang bertanding sebagai calon bebas. Beliau telah menggunakan lilin sebagai lambangnya. Datuk Pairin telah berjaya menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Tambunan dengan majoriti yang besar, iaitu beliau mendapat 3,685 undi, manakala yang disorongkan oleh Berjaya untuk menentang Datuk Pairin hanya mendapat 600 undi.

Berikutan daripada itu, semua bantuan yang diberikan oleh kerajaan sebelum pilihanraya kecil Tambunan telah diambil kembali oleh Kerajaan. Namun dengan rela hati penduduk Tambunan telah kembalikan  bantuan-bantuan seperti zink,  papan dan lain-lain dan diserahkan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang diperintah untuk mengutip kembali bantuan-bantuan tersebut. Hukuman Datuk Haris tidak berhenti di situ, rakyat Tambunan telah ditampar dengan kesusahan yang lebih teruk. Datuk Harris mengarah supaya taraf Daerah Tambunan dimansuhkan (Abrogation of the District). Pejabat Daerah tidak dibenarkan berfungsi sepenuhnya, sehinggakan untuk membayar cukai geran tanah pun terpaksa pergi ke Pejabat Keningau untuk berurusan dan sekalipun semua peruntukan dan kemudahan pembangunan Tambunan dibatalkan dan ditarikbalik.

bottom of page